training insken. ulasan yang jujur.

Hi, Selamat Sejahtera dan Selamat Petang!

Ini adalah kali pertama artikel saya di tulis dalam Bahasa Malaysia. Izinkan saya menulis dalam bahasa ibunda kerana sasaran pembaca kali ini adalah khusus untuk masyarakat Malaysia.

Semasa catatan ini ditulis, saya sedang duduk di sebuah kafe berhampiran dengan kawasan perumahan saya di Semenyih. Begitu indah dan permai sekali pagi ini. Cahaya matahari terik menyinari segenap kawasan. Mendongak ke atas, langit biru tanpa kehadiran awan begitu tenang pemandangannya. - Cewah, berpuitis plak ak.

Pada minggu lepas, saya menghadiri kursus Latihan Asas Industri: Perniagaan Kafe dan Restoran yang dianjurkan oleh INSKEN - Institut Keusahawanan Negara yang hanya berharga RM300. Ibu saya beberapa kali menasihati saya untuk menghadiri kursus yang dianjurkan oleh agensi kerajaan ini. Katanya, kursus ini sangat membantu usahawan dan bakal usahawan dalam membangunkan perniagaan mereka.

Sebelum ini, saya sangat skeptikal dengan kursus-kursus yang dianjurkan oleh kerajaan. Kebanyakkan pengalaman lepas saya adalah kursus yang dianjurkan tidak menepati objektif pembelajaran dan juga tiada pengajaran praktikal dimasukkan dalam pembelajaran. Pembelajaran secara teori adalah penting bagi kefahaman asas. Tetapi lebih baik jika pengalaman praktikal di masukkan sekali dalam modul pembelajaran supaya ianya tersemat di dalam pemikiran kita kerana pengalamannya lebih berbeza apabila dilakukan secara praktikal.

Pada hari pertama, kami diperkenalkan kepada tenaga pengajar, Cik Jehan Ja’afar dan Cik Amira dari Qidot Cafe oleh Encik Hafiz, wakil dari INSKEN. Modul pertama adalah berkaitan asas perniagaan seperti carta organisasi, jawatan dan tanggungjawab serta pemasaran. Seterusnya, sesi perkongsian tentang pengalaman peserta dalam menjalankan perniagaan. Pada pandangan saya, sesi ini merupakan sesi yang paling menarik kerana ianya adalah perkongsian pengalaman sebenar para peserta dalam menjalankan perniagaan.

Berdasarkan pengalaman saya sebagai seseorang yang menjalankan perniagaan dari rumah, pengalaman dari para peserta yang sudah menjalankan perniagaan yang sudah bertahun adalah penting kerana adanya sudut pandang sisi yang tidak pernah diketahui oleh saya. Ini menyebabkan pemikirian dan perspektif saya berubah 360 darjah secara terus. Saya merasa terbuka dan kagum dengan perkongsian yang diluahkan oleh para peserta.

Modul seterusnya adalah latihan amali dan praktikal di Qidot Cafe. Qidot Cafe merupakan kafe kepunyaan Cik Jehan dan abangnya, Encik Jeffiz. Kedua-dua adik beradik ini mempunyai satu misi untuk kafe ini. “Kami mahu memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk merasai pengalaman baharu yang lebih daripada biasa di bandar-bandar besar,” Latihan ini membuka mata kami. Kami berpengalaman sendiri melihat operasi perniagaan kafe ini. Dari perkhidmatan pelanggan, penyediaan makanan sehingga membersihkan pinggan dan kutleri, ianya suatu pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh saya.

Di dalam modul ini juga, kami berinteraksi bersama para pekerja dan pelanggan untuk mengetahui pandangan serta pengalaman mereka di Qidot Cafe. Saya merumuskan bahawa sesebuah perniagaan makanan itu berjaya adalah kerana budaya tempat kerja, prosedur standard operasi dan juga khidmat pelanggan sangat penting. Menerusi tiga elemen ini, pelanggan dapat merasai sendiri organisasi ini adalah tersusun dan mempunyai kualiti yang tinggi dalam menyampaikan perkhidmatan. Hasilnya, kepuasan hati pelanggan dan juga penjenamaan yang kuat dalam kalangan pelanggan di lokaliti kafe tersebut.

Modul terakhir adalah perkongsian tentang kos dan juga persona pelanggan. Kami berbincang bagaimana untuk mengira kos keuntungan serta modal dan juga harga jualan. Selepas itu, kami membentangkan persona pelanggan bagi memahami sasaran pelanggan dalam sesebuah lokaliti. Modul ini memberikan saya satu kefahaman tentang hubungan antara pemasaran, lokaliti, harga jualan dan keperluan pelanggan. Perkongsian dari tenaga pengajar dan para peserta lain dari sisi pandang masing-masing membuatkan perbincangan lebih terbuka dan banyak pengajaran yang boleh didapati dari hasil perkongsian ini.

Satu perkara yang saya suka di dalam kursus ini adalah keterbukaan para peserta dan juga tenaga pengajar dalam berkongsi pengalaman, rahsia perniagaan, dan juga kekuatan dalam perniagaaan masing-masing. Saya berpendapat bahawa generasi kami sangat terbuka dalam berkongsi pengalaman, ilmu dan rahsia kejayaan. Perkara ini dikatakan kerana generasi kami berusaha kuat untuk mencapai kejayaan dan berusaha memikirkan pelbagai inovasi dalam meningkatkan khidmat dan mutu perniagaan demi kelangsungan perniagaan secara beterusan. Kami berpendapat juga adalah penting untuk membantu antara satu sama lain kerana akhirnya, rantaian bekalan (supply chain cycle) adalah terkait antara satu sama lain dalam bentuk pemasaran, bahan mentah, teknologi dan lain-lain.

Sebagai rumusan, pengalaman menghadiri kursus ini akan saya hargai sampai bila-bila. Dan saya secara peribadi mencadangkan anda yang datang dari pelbagai latar belakang dan pengalaman untuk menyertai kursus anjuran INSKEN ini. Untuk pengetahuan, sejurus sahaja selesai kursus ini, saya sudah pun mendaftarkan diri dalam kursus Latihan Asas Industri: Perniagaan Bakeri oleh INSKEN pada bulan Mei ini. Saya berharap agar saya dapat berjumpa dengan anda sekalian di kursus akan datang.

Bagaimana penulisan saya dalam Bahasa Malaysia? Dan pengalaman yang dikongsi? Kongsikan pendapat anda dalam ruangan yang disediakan dibawah.

Layari laman web INSKEN di sini untuk maklumat lanjut. Dan juga jangan lupa melawat Qidot Cafe untuk menikmati pengalaman makan di kafe ala inggeris yang cantik! Bak kata tagline mereka “Come for ambience, stay for the food!”

Semoga berjumpa lagi di catatan akan datang!
Selamat berhujung minggu,
Emir S.

Previous
Previous

an honest review: v88 cafe&bar

Next
Next

a trip to rimbun dahan.